Sunday, August 10, 2008

Sejarah Bangunan Loke Chow Kit (Kini Bangunan PAM)

Bangunan peninggalan Loke Chow Kit

MASIH kukuh berdiri dan kekal dengan fizikal asalnya, bangunan ini pada mulanya merupakan milik Loke Chow Kit. Bangunan yang didiami Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, pada hari ini pada asalnya merupakan rumah agam orang kaya Kuala Lumpur, Loke Chow Kit. Dibina pada 1907 di kawasan perumahan mewah warga Inggeris ketika era penjajahan British, bangunan dua tingkat yang pernah dikenali sebagai Dewan Loke itu dikatakan satu-satunya bangunan milik warga tempatan di kawasan yang dikenali sebagai European Quarter itu. "Inilah satu-satunya rumah milik orang tempatan di kawasan ini. Selebihnya ialah milik warga Inggeris. "Bukan saja untuk didiami, rumah ini juga dijadikan pejabat untuk kerja-kerja perusahaan bijih timah. "Bagaimanapun, Loke menjual rumah ini pada tahun 1909 dan kemudian ia dijadikan Hotel Empire diikuti Hotel Peninsular," kongsi Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Konservasi PAM, Ar. Mohd. Zulhemlee An.

PAM menjadi penghuni keempat bangunan itu sejak 1973. "PAM memilih untuk 'mendiami' bangunan ini kerana reka bentuknya yang unik, yang tidak dapat dihasilkan semula dalam era lain. Tambahan ia terletak di kawasan utama. Faktor itu membuatkannya sesuai dijadikan bangunan rujukan untuk ilmu seni bina," jelas Zulhemlee. Terserlah gaya Inggeris atau Eropah. Dilengkapi dengan laman terbuka di tengah-tengah bangunan, kata Zulhemlee, ciri ketara seperti itu kini juga hanya dapat dilihat pada rumah-rumah lama Melaka dan Rumah Agam Cheong Fatt Ze di Pulau Pinang.

"Rumah-rumah lama di China juga menerapkan konsep laman terbuka seperti ini. "Jadi kita tidak dapat menetapkan sama ada idea rekaan seperti ini datang dari negara tertentu," ujarnya. Tidak mustahil, kata Zulhemlee, rekabentuk baluster atau susur tangan pada pagar di sekeliling laman terbuka di aras atas bangunan itu datang dari kedua-dua negara, China dan Eropah, kerana rekabentuk yang sama turut dapat ditemui di Eropah. "Malah, rumah ini dibina selepas Loke pulang dari melawat negara-negara Eropah bersama usahawan ternama, Wong Loke Yew," jelas Zulhemlee.

Kepala tiangnya yang berkerawang jelas sekali menunjukkan pengaruh Eropah, begitu juga gable end atau tebar layar pada bahagian hujung bumbungnya. Biarpun sudah mengalami tiga kali perubahan fizikal kerana empat kali bertukar penghuni, struktur dan kebanyakan bahagian utama asal bangunan itu masih kekal. "Kebanyakan bahagian bangunan yang diperbuat daripada kayu terpaksa kami ganti dengan material lain kerana ia diserang anai-anai dengan teruk sekali. "Tetapi yang masih terselamat, kami kekalkan," katanya yang mendedahkan lantai kayu di aras atas sebahagian besarnya digantikan kepingan besi tebal.

Ciri tradisional Melayu, kongsi Zulhemlee, dapat dikesan pada bahagian depan rumah itu. Dari pintu pagar, satu set anak tangga membawa tetamu ke 'anjung' sebelum sampai ke pintu utama rumah. Darjah perbezaan antara seni bina lama dengan baru sangat ketara dari segi reka bentuk sesebuah bangunan. Namun, siapa sangka, teori pembinaannya juga ada kelainan?Dinding jauh lebih tebal. "Rumah-rumah sekarang ditampung beratnya oleh tiang dan rasuk, sedangkan rumah dahulukala ditampung oleh dindingnya. "Disebabkan itulah dinding rumah lama jauh lebih tebal berbanding dinding rumah sekarang. "Dinding yang diperbuat pada zaman dahulu juga bersifat menyerap dan melepaskan lembapan ke ruang dalaman, membuatkan rumah tidak panas. "Cat yang digunakan juga daripada jenis yang membolehkan dinding bernafas (breathable)," terangnya. Namun, dengan penggunaan pendingin hawa, cat yang digunakan pada hari ini bukan lagi daripada jenis itu. "Cat 'boleh bernafas' masih lagi dihasilkan tetapi sudah tidak ramai yang menggunakannya kerana penggunaan pendingin hawa memerlukan tiada pengaliran udara keluar dan masuk. "Tetapi penggunaan cat tidak boleh bernafaslah yang menyebabkan pembentukan kulat pada dinding bangunan lama yang serupa kerana lembapan dalam dinding tidak dapat keluar dengan baik," tambah Zulhemlee.

Masih yang asal. Kebanyakan bahagian yang dibina daripada kayu terpaksa dirombak dan digantikan dengan kepingan besi kecuali tangga ini. Impian PAM kini ialah untuk mendapatkan hak milik ke atas bangunan itu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepenuhnya."Disebabkan kami sekadar bertindak sebagai penjaga bangunan ini, pergerakan kami untuk melakukan sebarang pengubahsuaian pada bangunan ini sangat terhad. "Sedangkan sebagai sebuah pertubuhan yang menghimpunkan arkitek bertauliah dari seluruh negara, kami mempunyai banyak aktiviti untuk dilakukan seperti seminar, mesyuarat dan sebagainya," ujarnya. Bangunan seluas 1,588 meter persegi itu kini menempatkan sebuah pusat sumber tentang seni bina yang turut dibuka kepada orang awam dan menjadi pusat rujukan kepada 1,600 arkitek berdaftar.

PAM juga, kata Zulhemlee, berhasrat untuk mengembalikan bentuk asal bangunan yang masih berdiri teguh bersetentang dengan Bank Rakyat di Jalan Parlimen itu. "Kami telah mencalonkan bangunan ini kepada Jabatan Warisan Negara agar ia dapat digazetkan supaya terus dipelihara sebagai tinggalan sejarah negara. "Kita memerlukan sekurang-kurangnya satu bangunan untuk rujukan daripada setiap zaman dan Loke Chow Kit bukan nama asing lagi di negara kita," kata Zulhemlee.

No comments:

Powered By Blogger