Friday, May 01, 2009

Menara Surau Makin Usang, Melaka, Malaysia

Menara Lama Surau Tengkera (1728) - Tiada siapa peduli tentang keadaannya yang usang oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pemuliharaan warisan negara di Melaka walaupun nilai sejarah dan warisannya tinggi. Wajarkah menara ini turut dirobohkan hanya kerana ia kelihatan usang? Sampai bilakah ia akan terus kekal sebegini? Tidak seperti di negara Eropah yang amat menghargai nilai sejarah, warisan dan budaya seni bina mereka. Jika tedapat bangunan / monumen sebegini, sudah pasti ia telah dipulihara dengan sebaik mungkin sejak dahulu lagi. Lihat contoh dan bukti:
.
Kita wajar berasa malu dengan status Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia jika para pelancong datang dan melihat keadaan bangunan / monumen warisan di negara ini yang telah diabaikan tanpa dihargai. Dengan keadaan strukturnya yang penuh dengan kecacatan ditambah pula dengan papan tanda yang tidak diselenggara dengan baik, sesuatu perlu dilakukan segera agar warisan negara yang tidak ternilai ini terus terpulihara dengan sebaik mungkin.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 07/11/2008.
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

MELAKA 6 Nov. - Melaka yang diiktiraf sebagai bandar raya warisan dunia sememangnya cukup dikenali di peringkat antarabangsa sebagai negeri yang kaya dengan tinggalan warisan lama zaman silam. Salah satu keunikan yang terdapat di negeri ini ialah tinggalan seni bina lama yang berusia ratusan tahun, sama ada seni bina bangunan kediaman atau rumah-rumah ibadat. Binaan lama tersebut termasuklah bangunan menara lama surau Tengkera yang dibina sekitar tahun 1728 yang terletak kurang 100 meter dari Masjid Tengkera yang merupakan masjid asal bagi menara lama tersebut. Kedudukannya yang betul-betul berada di tepi jalan membuatkan sesiapa sahaja yang melalui Jalan Tengkera pasti terpegun melihat seni binaan lama yang terdapat pada bangunan lama tersebut. Bagaimanapun, seiring dengan perubahan masa, menara lama tersebut kian dilupakan dan pudar 'menutup' keunikan sejarah yang terdapat di dalamnya.
.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bangunan lama itu mendapati ia semakin usang dan kelihatan ditumbuhi semak samun di bahagian dalamnya. Salah seorang penduduk, Mohd. Akbar, 58, berkata, bangunan yang memiliki unsur-unsur sejarah itu perlu dipelihara kesan warisannya bagi mengelakkan ia pupus ditelan zaman. Menurutnya, bangunan yang terbiar dan terlampau usang perlu digantikan dengan bangunan yang baru. ''Robohkan atau baik pulih semula bangunan usang yang terletak di ibu kota kerana bangunan memainkan peranan penting untuk menarik perhatian pelancong," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini. Katanya, pihak berkuasa harus membuat pemantauan agar bangunan usang yang mencacatkan pemandangan tidak lagi wujud sebaliknya digantikan dengan bangunan yang baru. Menurutnya, bangunan terbiar yang diubah suai boleh digunakan sebagai rumah kedai, hostel dan sebagainya.
.
Selain itu, kata Anirah Abu, 23, tidak seperti di negara lain, kebanyakan mereka menjadikan bangunan lama sebagai daya tarikan pelancong di kawasan bandar seperti yang terdapat di London dan Paris. ''Saya hairan kerana masih ada bangunan usang terbiar begitu sahaja terutama kawasan yang menjadi tumpuan pelancong asing misalnya menara lama surau Tengkera ini. ''Kalau binaan lama ini terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan penjagaan sewajarnya diambil, ia boleh mendatangkan imej buruk pada pendangan pelancong asing yang datang berkunjung ke negeri ini," katanya. Katanya, bangunan bersejarah merupakan salah satu tarikan pelancong ke negeri ini namun agak malang binaan lama seperti menara lama tersebut dibiarkan terabai tanpa penjagaan sewajarnya oleh agensi kerajaan berkaitan. Menurutnya, bangunan yang ada kaitan dengan sejarah perlu dikekalkan tetapi sekiranya bangunan terbabit sudah terlalu usang perlu diperbaiki agar kelihatan menarik.
.
Sementara itu, Pengurus Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas berkata, pihaknya tiada masalah untuk membantu mengindahkan semula menara lama surau Tengkera yang kini terbiar dan ditumbuhi semak-samun sehingga mencacatkan pemandangan di sekitar kawasan tersebut. Menurutnya, Perzim sedia membaiki dan mengecat semula dinding menara lama itu sekiranya pihak penduduk khususnya jawatankuasa surau di situ mengemukakan permohonan berhubung perkara berkaitan. ''Namun saya harap pihak masjid dan jawatankuasa surau berhampiran kawasan itu dapat mengemukakan permohonan kepada pihak kita bagi membolehkan Perzim melakukan usaha-usaha yang sewajarnya,'' katanya. Tambahnya, Perzim sentiasa mengambil perhatian terhadap mana-mana bangunan lama khususnya yang memiliki kesan tinggalan sejarah bagi memastikan warisan lama yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi bersama generasi baru akan datang.

No comments:

Powered By Blogger